Rasulullah s.a.w adalah contoh yang terbaik kepada lelaki-lelaki untuk menjadi suami. Berikut adalah antara hadis-hadis yang berkaitan dengan tajuk:
TIDUR DALAM SATU SELIMUT BERSAMA ISTERI
Dari Atha bin Yasar, "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bejana (besen mandi). Ketika Baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, 'Mengapa engkau bangkit?' Jawab Aisyah, 'Kerana saya haid, wahai Rasulullah.' Sabda Rasulullah, 'Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku.' Aku pun masuk, lalu berselimut bersama baginda."
- Hadis Riwayat Said bin Manshur
MEMBERI WANGI-WANGIAN PADA AURAT
Aisyah berkata, "Sesungguhnya Nabi s.a.w apabila meminyaki badannya, Baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isterinya Baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w."
- Hadis Riwayat Ibnu Majah
MANDI BERSAMA ISTERI
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w menggunakan satu bejana (besen mandi). Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut)."
- Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah
RAMBUT DISIKATKAN OLEH ISTERI
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid."
- Hadis Riwayat Ahmad
MEMINTA ISTERI MEMINYAKI BADAN
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w pada Hari Raya 'Aidil Adha setelah Baginda melakukan jumrah aqabah."
- Hadis Riwayat Ibnu 'Asakir
MINUM BERGANTIAN PADA TEMPAT YANG SAMA
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata, "Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya."
- Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur
MEMBELAI ISTERI
"Adalah Rasulullah s.a.w tidaklah setiap hari melainkan Baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam di tempatnya."
- Hadis Riwayat Ahmad
MENCIUM ISTERI
Dari Aisyah r.a, bahawa Nabi s.a.w biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya.
- Hadis Riwayat Abdurrazaq
Dari Hafshah, puteri Umar r.a, "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa."
- Hadis Riwayat Ahmad
BERBARING DI PANGKUAN ISTERI
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Nabi s.a.w biasa meletakkan kepalanya di pangkuan ku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda membaca Al-Quran."
- Hadis Riwayat Abdurrazaq
MEMANGGIL DENGAN PANGGILAN MESRA
Rasulullah s.a.w biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya, seperti Aisy dan Humaira (pipi merah delima).
MENYEJUKKAN KEMARAHAN ISTERI DENGAN MESRA
Nabi s.a.w biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, "Wahai Uwaisy, bacalah doa: 'Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan."
- Hadis Riwayat Ibnu Sunni
MEMBERSIHKAN TITISAN DARAH HAID ISTERI
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Aku pernah tidur bersama Rasulullah s.a.w di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan Baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian Baginda sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu sahaja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian Baginda sembahyang di atas tikar itu."
- Hadis Riwayat Nasai
MEMBERIKAN HADIAH
Dari Ummu Kalsum binti Abu Salamah, ia berkata, "Ketika Nabi s.a.w menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya; "Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikan kepadamu." Dia (Ummu Kalsum) berkata; "Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing isterinya sato botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah."
- Hadis Riwayat Ahmad
SEGERA MENEMUI ISTERI APABILA TERGODA
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi s.a.w pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, "Wanita kalau menghadap, ia akan menghadap dalam rupa syaitan...apabila seseorang di antara kamu melihat wanita menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu."
- Hadis Riwayat Tirmizi
p/s: hurmmmm ^_^
No comments:
Post a Comment